BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, September 7, 2009

Otak kanan dan Otak kiri


Otak manusia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu otak kanan dan kiri. Kedua-dua bahagian ini mempunyai banyak persamaan. Namun, ia juga mempunyai beberapa perbezaan antaranya :

1. Otak kiri lebih memfokuskan pada fakta, logik, nombor, tulisan, bahasa, pertuturan dan perincian berkenaan dengan sesuatu perkara.
2. Otak kanan pula memfokuskan pada emosi, kreativiti, warna, nada, penglihatan, bentuk, corak dan konsep.

Orang yang mempunyai pemikiran yang baik adalah orang yang memanfaatkan kedua-dua bahagian otak ini. pendidikan Islam menekankan penggunaan kedua-dua bahagian ini secara serentak. Sebagai contoh , semasa mempelajari ilmu kaedah fikah, penggunaan bahasa serta pemahaman dalil secara terperinci ditekankan. Dengan cara demikian, bahasa yang tersurat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dapat difahami dengan betul. Bagi mencapai tujuan ini, otak kiri perlu dimanfaatkan. Antara dalil yang perlu dikaji adalah sebuah hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim yang menceritakan, "Nabi memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin Awwam memakai sutera kerana penyakit gatal yang menimpa mereka."

Secara zahir, nas ini menunjukkan kaum lelaki boleh memakai kain sutera apabila mereka menghidap penyakit yang serius. Daripada bahasa tersurat, ulama Islam membuat analisis bagi memahami bahasa yang tersirat di sebalik nas itu. Hasil daripada kajian dan analisis, lahir konsep serta kaedah yang bernilai tinggi yang dikenali sebagai kaedah fikah. Kaedah yang lahir daripada nas yang baru disebutkan tadi adalah kecemasan mengharuskan yang haram. bagi memahami konsep yang tersirat daripada bahasa yang tersurat, otak kanan perlu dimanfaatkan.

Umat Islam dididik supaya menguasai kemahiran interpersonal dengan baik. Dengan kemahiran ini, umat Islam mampu menyelami dan memahami perasaan orang lain melalui bahasa, gaya pertuturan serta bahasa badan yang dilahirkan. Dalam konteks ini, Allah brkata dalam surah al-Baqarah ayat 273 yang bermaksud, "(berdermalah) kepada Allah. Mereka tidak dapat berusaha di muka bumi. Orang yang tidak mengetahui menyangka mereka adalah golongan yang kaya kerana mereka memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu dapat mengenali mereka melalui sifat-sifat mereka kerana mereka tidak meminta kepada manusia secara mendesak." Bagi memahami perasaan dan emosi manusia melalui bahasa badan serta gaya pertuturan, otak kiri dan kanan perlu dimanfaatkan serentak.

Makan dan minum mempunyai pengaruh pada fungsi otak. Untuk berfungsi dengan baik, otak memerlukan tenaga dan tenaga ini diperoleh daripada karbohidrat. karbohidrat yang baik adalah karbohidrat kompleks seperti yang terdapat dalam pasta, bijiran, gandum, nasi dan seumpamanya. Karbohidrat kompleks tidak hanya berfungsi sebagai makanan yang menyalurkan tenaga. Ia juga mempunyai zat-zat logam, vitamin dan bahan serat yang penting bagi kesihatan manusia.

Sebaliknya, karbohidrat biasa seperti yang terdapat dalam gula-gula, coklat, sirap dan air botol bergas, hanya mempunyai kalori tanpa vitamin dan zat. Justeru, ia sewajarnya dijauhi. Kajian juga menunjukkan vitamin B perlu untuk kesihatan otak dan kekurangannya boleh menyebabkan kemurungan, sakit mental dan gangguan daripada sudut intelek. Mengambil ikan juga baik bagi otak kerana ia kaya dengan protein. Selain daripada itu, minyak ikan kaya dengan asid lemak terutamanya omega-3. Omega-3 berkhasiat kerana ia mencegah daripada kejadian strok.

______________________________________________________________________________________

Rujukan :

Danial Zainal Abidin.(2008). Otak kanan dan otak kiri, 7 Formula Individu Cemerlang (pp. 101-103).Selangor : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

0 comments: