BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 30, 2010

Berdakwah dengan Multimedia

DEFINISI:


2.1. Untuk menjelaskan skop perbincangan dalam kertas ini, maka terlebih dahulu diterangkan definasi dua perkara asas dalam tajuk kertas ini, iaitu dakwah dan multimedia. Dakwah ialah "usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu". Manakala multimedia pula ada beberapa definasi telah diberikan, antaranya ialah "Penggunaan dua atau lebih jenis/bentuk media (video bergerak, audio, gambar, grafik, animasi, teks dan sebagainya) untuk menyampaikan maklumat".

2.2. Jadi, apabila membicarakan mengenai berdakwah dalam era multimedia, maka ianya akan menyentuh samada penggunaan multimedia ini dibenarkan oleh Islam atau tidak dan apakah sikap pendakwah mengenainya serta apa pula masalah yang perlu diatasi berhubung dengan penggunaan multimedia dalam berdakwah.



MEDIA DAKWAH:


3.1. Kalau dilihat dan diikuti perkembangan Islam dari dahulu sampai sekarang, ternyata bahawa para da'i khususnya dan umat Islam umumnya tidaklah mengggunakan sesuatu media tertentu, dan nampaknya tidak pula menghadkan kepada hanya sesuatu media tertentu saja yang boleh digunakan dan dipakai dalam menyampaikan dakwah Islamiah di seluruh dunia ini.

3.2. Di Malaysia sejak dari dahulu lagi dakwah Islamiah telah disampaikan melalui lisan dan tulisan yang disebarkan kepada individu dan kumpulan, secara bersemuka atau menerusi penyebaran bahan-bahan tulisan dan sebagainya, malah selari dengan perkembangan zaman yang dilaluinya, dakwah Islamiah turut disebarkan menerusi filem, video, kaset dan sebagainya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam aktiviti dakwahnya telah menggunakan teknologi terkini termasuklah penggunaan internet.

3.3. Malah jika diteliti, penggunaan media elektronik terutama radio dan telivisyen sebagai media dakwah telah dipelopori dan dilaksanakan oleh kerajaan sendiri. Program-program yang disiarkan telah mendapat sambutan dan penerimaan yang hangat menyeluruh dari kalangan penontonnya.

3.4. Kini tamadun manusia terus membawa dan memperkenalkan kemajuan media yang lebih canggih dan diterima umum dan sekarang mereka berada dalam era yang dikenali sebagai era multimedia. Malaysia sendiri telah menerima kehadiran teknologi ini dan telah memperuntukkan sejumlah wang yang banayak untuk menjayakannya. Penguwujudan Koridor Raya Multimedia adalah bukti nyata penerimaan tersebut.

3.5. Melihat kepada sejarah lalu dan penerimaan umat Islam dalam menggunakan berbagai media yang wujud disepanjang zamannya, maka penerimaan multimedia sebagai alat berdakwah pada masa ini bukanlah suatu yang salah dan ditegah, malah adalah wajib selagi penggunaannya selari dengan ajaran Islam yang mulia.

3.6. Jadi, yang pentingnya ialah kesedaran umat Islam bahawa Islam tidak menghadkan kepada umatnya untuk menggunakan apa jua media yang boleh memberi kejayaan dalam usaha berdakwah di kalangan umat manusia seluruhnya.



CABARAN:

4.1. Sepanjang pelaksanaan dakwah di Malaysia, terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi. Cabaran-cabaran itu ada yang berupa penyebaran ajaran salah dan menyeleweng, ajaran kepercayaan agama yang lain dari Islam dan pendedahan nilai-nilai serta budaya hidup yang negatif dan bertentangan dengan ajaran Islam. Penyebaran bahan-bahan ini ada dijalankan secara bersemuka dan tidak kurang juga yang menggunakan media cetak dan elektronik.

4.2. Bagi mengatasi pengaruh ajaran dan pendedahan bahan berunsur negatif tersebut, kerajaan telah menggunakan berbagai langkah untuk menerangkan kepada masyarakat umat

Islam mengenai ajaran Islam yang sebenarnya, supaya mereka tidak terpengaruh dan terperangkap dalam belenggu ajaran salah dan tidak berakhlak.

4.3. Selain dari itu kerajaan juga menguatkuasakan peraturan yang membolehkan bahan-bahan tersebut khususnya yang diimport disemak dan ditapis terlebih dahulu sebelum ianya dibenarkan untuk diedar bagi dibaca, didengar dan ditonton oleh rakyat

umum. Pada peringkat itu kawalan terhadap apa jua unsur yang tidak digemari dan bercanggah dengan kepentingan negara dan keselamatannya dapat dijalankan dengan berjaya dan berkesan.

4.4. Sekarang, kekebalan ini nampaknya kurang mampu dipertahankan sepenuhnya apabila teknologi canggih dan penggunaan multimedia terutama internet berkembang dengan pesatnya di dunia hari ini. Kini umat Islam khususnya di Malaysia terdedah kepada penyebaran maklumat yang salah mengenai Islam dan terdedah kepada nilai-nilai negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam.

4.5. Oleh itu rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam, mahu atau tidak mahu, terpaksa menyahut cabaran ini. Yang pastinya, umat Islam tidak boleh menyerah kalah dan membiarkan arus perkembangan ini berlalu dan mengancam mereka begitu sahaja. Sebaliknya dengan keazaman dan keyakinan yang penuh mereka turut menguasai dan mengambil manfaat daripadanya.

0 comments: